Bukan kali pertama saya berjumpa dengan adik ni. Pernah di lihat di hadapan bank, pernah nampak di pintu masuk Domino Pizza, pernah jugak nampak kelibat sedang melintas jalan. Kalau pun bukan adik yang sama, tapi dari kumpulan yang sama. Adik-adik yang sama juga.
Semalam, tengah nak order makan, adik ni datang, tak cakap apa-apa, cuma tunjuk botol "Ubat Herba" ditangan dia, dan resit "Derma Tahfiz Amal". Fahamlah kan apa yang dia nak. Benda ni dah common sangat dalam masyarakat kita. Orang minta derma. Atau lagi tepat, budak minta derma.Mr Hasnul selit beberapa keping duit untuk adik tu. Then dia tanya, "Dah makan ke dik?". Adik tak menjawab, cuma geleng, mata terpaku pada skrin besar di kedai makan tu.
Mr Hasnul tanya lagi, " Nak makan tak?" . Dia geleng lagi, tapi mata dia dah pandang arah kami. Mr Hasnul tanya sekali lagi, " Nak makan tak? Kalau nak order lah. Duduk sini." Sambil mengunjuk pada kerusi kosong di meja kami.
Dia duduk. Budak yang amik order terus berseloroh tanya " Hari ni ustaz suruh makan apa?"
Saya pulak tanya, "Adik nak apa? Burger boleh?"
"Nak burger bakar."
Haha. Demanding betul. Atau mungkin dah lama teringin kot. Tapi sayangnya kat situ tak ada burger bakar, so ganti dengan burger ayam je.
Sambil tunggu order, mata dia tak pandang langsung muka kami.. Straight mata mengadap skrin tv. Tapi Mr Hasnul tetap jugak ajak dia bersembang. Lebih kepada soal siasat jugak.
Ayah dan mak masih ada. Adik beradik ada 11, dia yang kelima. Ayah kerja buat rawatan bekam. Dia dihantar masuk pusat tahfiz.Dia kata dia darjah 6, tapi lihatkan gaya, saya rasa dia lebih muda dari tu. Mungkin darjah 3 atau 4. Saya tanya dah hafal berapa juzuk di tempat tahfiz, baru Juzu' Amma. Dan dia tak segan bacakan Surah Al- Insyirah bila saya minta. Katanya setiap hari akan dihantar kutip derma dari pukul 4petang hingga 10 malam.
Sayu pulak rasa. Saya terbayang anak-anak buah di rumah. Anak-anak kakak dan abang-abang saya yang sebaya dengan adik ni. Waktu malam tentunya ada di rumah bersantai menonton tv. Ataupun mungkin sedang sibuk di pusat tuisyen. Tapi adik didepan saya, dibiar berkeliaran seorang diri, dibiar berhadapan dengan pelbagai macam jenis orang. Pelbagai bentuk bahaya.
Masa makan, beberapa kali jugak saya tengok dia pegang bibir dan berkerut muka. Saya tanya "Sakit ke? "
Dia jawab " Bibir ada lubang.Pedih".
Saya cakap "Jadi ulser la tu, adik kena minum air banyak sikit. Badan kurang air, tu yang jadi gitu".
Dia angguk je, sambil teruskan hirup milo suam dalam gelas.
Selesai makan, saya dengar Mr Hasnul pesan, " Adik belajar rajin-rajin ye. Hafal quran betul-betul."
Adik tu minta diri, dan ucap terima kasih. Berlalu pergi di sebalik celah-celah kedai. Dalam hati saya berdoa semoga Tuhan permudahkan urusan hidup adik-adik itu. Moga dilindungi, moga membesar menjadi seseorang. Moga berubah nasib menjadi lebih baik.
Haih la. Sedihnya budak sekecil tu dibiar membesar dengan memori tak seperti orang lain. Budak sekecil tu, selayaknya waktu malam dibiar berehat, mengulangkaji pelajaran, diberi kasih sayang, di lindungi dari bahaya jalanan. Entahlah salah siapa, yang pastinya yang dewasa ni lah yang kena fikirkan kebajikan budak sekecil tu. Tak akan tak ada cara lain memohon dana selain dari menggunakan tenaga adik sekecil tu.
Rasa nak buat sesuatu. Tapi tak tahu nak buat apa. Kalau nak report, nak report pada siapa? Kalau nak tolong, nak tolong bagaimana? huhu.
Tiba-tiba terasa 'useless'. huhu. * nangis*